Balu anggota TUDM terima bantuan JKM Sarawak

Iklan

KUCHING - Balu Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Shima Mustapha, 29, hari ini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Sharif Mohd Siddiq Al-Attas merupakan antara empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pada pagi Jumaat lepas.

Iklan
Iklan

Bantuan berupa wang tunai, makanan kering, lampin bayi serta usu formula itu disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah di rumah Shima di Bau.

Menurut Fatimah, bantuan kewangan berkenaan termasuk bayaran one-off RM300 daripada Tabung Bantuan Segera dan bantuan bulanan kanak-kanak RM600 yang akan mula diberikan bulan hadapan.

Iklan

Selain itu, katanya, Bantuan Ibu Bersalin RM450 dan Endowment Fund Sarawak (EFS) RM1,000 juga akan diusahakan untuk Shima dan bayinya yang baru berusia dua bulan.

Selain bantuan kewangan, kata Fatimah, Shima juga perlu menerima sokongan dari aspek emosi menerusi kaunseling, supaya ibu kepada tiga orang anak itu tidak berasa keseorangan dalam menghadapi ujian tersebut.

Iklan

"Terdapat kaunselor dan pakar psikologi di JKMS dan kaunselor daripada TUDM yang boleh memberikan khidmat kaunseling apabila diperlukan,” katanya.

Fatimah mewakili kementeriannya, turut mengucapkan takziah kepada Shima, keluarganya serta keluarga Allahyarham Sharif Mohd Siddiq Al-Attas dan berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi apa yang telah terjadi.

"Kita turut berdoa semoga anak-anak Shima akan membesar sihat, mempunyai pendidikan yang baik dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan ibu dan keluarga mereka, serta masyarakat serta menjadi anak kebanggaan keluarga,” tambahnya. -Bernama