Dua ahli kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

Iklan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU - Dua lelaki disyaki ahli kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati pasukan keselamatan dalam kejadian di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, kedua-dua lelaki itu maut di lokasi selepas insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi khas bagi mengesan kumpulan berkenaan.

Iklan
Iklan

Pasukan keselamatan turut merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, jam 11 pagi nanti.

Iklan

Difahamkan, kejayaan pasukan keselamatan itu susulan daripada maklumat operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Hasil daripada maklumat itu, pasukan keselamatan menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi saki baki ahli kumpulan pengganas itu.

Iklan

Pegawai dan anggota polis akhirnya berjaya mengesan dua ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan dan berlaku berbalas tembakan hingga kedua-dua lelaki itu maut di lokasi kejadian.

Manakala pegawai dan anggota keselamatan yang menjalankan operasi semua dalam keadaan selamat.

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Susulan kejadian itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama, 17 Mei lalu.