Bank Rakyat lulus pembiayaan RM1.72 juta

Iklan
Syed Abdul Aziz Syed Hassan

SHAH ALAM - BANK RAKYAT telah meluluskan jumlah pembiayaan melebihi RM1.72 juta dalam sektor sukan menerusi kemudahan Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) sejak ia diperkenalkan pada Mac lalu.

Bank Rakyat memperkenalkan SPIS yang telah dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Mac lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kemudahan SPIS dijangka dapat meningkatkan pemfokusan bank berkenaan dalam sektor sukan termasuk bidang perkhidmatan dan peruncitan.

Menurutnya, ia diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan menerusi dana sebanyak RM10 juta yang disalurkan oleh MEDAC.

Iklan

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara menyebabkan kesemua acara dan pertandingan sukan tidak dapat dianjurkan, malah kebanyakan usahawan dalam industri tersebut mengalami penurunan jualan, malah ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

"Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan kewangan kepada komuniti usahawan mikro dan PKS daripada pelbagai sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, inisiatif itu juga salah satu daripada bantuan Bank Rakyat untuk pengusaha PKS selain daripada Bantuan Pembayaran Pembiayaan Bersasar dan pengumuman moratorium Perdana Menteri menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan pada 28 Jun 2021.

"Menerusi program ini, nilai pembiayaan yang akan disalurkan adalah daripada RM20,000 sehingga RM500,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan serta terma dan syarat, manakala tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga tujuh tahun, termasuk tempoh moratorium sehingga sembilan bulan,” katanya.

Syed Abdul Aziz berkata, usahawan industri sukan yang boleh membuat permohonan termasuk pusat kecergasan, runcit, pengendali pusat sukan, penjagaan kesihatan (psikologi, fisioterapi), aktiviti perniagaan (pereka, penyelidik, wartawan, ejen atlet, penganjur acara, perunding tajaan, pakar perlesenan dan perdagangan).

Selain itu, perniagaan tersebut mestilah berdaftar serta menjalankan aktiviti perniagaan yang patuh Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai SPIS atau pembiayaan mikro, PKS dan koperasi, pelanggan boleh kunjungi Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives Business Centre, SMEC), emel qr2e@bankrakyat.com.my atau hubungi pusat panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454.