Bilangan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima menurun di enam negeri

Iklan
Tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Labuan. -Foto Bernama

SHAH ALAM - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan perkembangan awal positif dengan penurunan bilangan kes kategori tiga hingga lima di enam negeri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa 18 tahun dan ke atas di negeri-negeri tersebut iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah melebihi 40 peratus.

Iklan
Iklan

"Semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Labuan.

"Data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis ((CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Iklan

Muhyiddin menambah, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang juga telah menurun.

Menurut beliau, pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah seramai 909 orang.

Iklan

"Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh

KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos lalu.

"Saya amat berharap trend penurunan ini berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Tambah beliau, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.

Muhyiddin menyeru seluruh rakyat segera mendaftar untuk dapatkan vaksinasi termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.

Katanya lagi, majikan juga perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi.