UMNO tolak tawaran Muhyiddin

Iklan
UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada Perdana Menteri yang sudah tiada keabsahan.

SHAH ALAM - UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada perdana menteri yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan agar rakyat supaya bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu.

Iklan
Iklan

Selain itu, UMNO merakamkan penghargaan kepada 15 ahli Parlimennya yang setia dan istiqamah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela institusi raja dan perlembagaan negara.

"UMNO mengucapkan penghargaan atas pengakuan ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Iklan

"Dengan pengakuan ini, maka Muhyiddin sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku perdana menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Selaku ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Muhyiddin tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.