PH tolak tawaran, mahu Muhyiddin letak jawatan

Iklan
Pakatan Harapan

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya pada penghujung hayat politik beliau.

Menurut kenyataan media Majlis Presiden (PH), Muhyiddin seharusnya memberi tumpuan untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik.

Iklan
Iklan

PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19.

"Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian.

Iklan

"Majlis Presiden PH berpandangan bahawa perutusan khas Muhyddin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan. Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang.

Iklan

"Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tambah kenyataan itu, dakwaan Muhyiddin berkaitan tiada Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a).

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.