33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

Iklan
Rina (dua kiri) ketika meninjau Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Mukim Gajah Mati pada Jumaat.

POKOK SENA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti 33 kanak-kanak menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut terjaga termasuk memberikan perlindungan kepada mereka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, data-data tersebut diperoleh menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kementeriannya akan berusaha memastikan masa depan kanak-kanak yang terlibat terjamin.

"Kementerian telah mengambil inisiatif membuka penempatan kepada kanak-kanak yang memerlukan perlindungan akibat Covid-19 di tujuh buah institusi mengikut zon seluruh negara.

Iklan

"Institusi terbabit adalah di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka, TSP Cheras, Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka, RKK Mini Kelantan, TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan kanak-kanak sama ada secara sementara atau tetap," katanya pada sidang akhbar di Pokok Sena pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan operasi RKK, Pokok Sena, Mukim Gajah Mati dekat sini bersama Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.

Iklan

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya akan melihat beberapa situasi atau kategori kanak-kanak ini sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, jika terdapat saudara mara seperti kakak atau abang yang berusia lebih 18 tahun dan berkemampuan untuk menjaga mereka, pihaknya akan mempermudahkan urusan penjagaan oleh saudara terdekat.

"Kanak-kanak ini juga turut diberikan kaunseling secara berkala oleh Jabatan JKM menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia agar keadaan emosi mereka sentiasa terjaga dan berada pada tahap yang baik," ujarnya.