Zaliman Sauli dilantik Naib Canselor UniMAP

Iklan
Zaliman Sauli

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Profesor Dr Zaliman Sauli dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baharu berkuat kuasa pada 9 Ogos.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, Zaliman, 54 mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia; MSc. in Advanced Semiconductor Materials and Devices dari University Of Surrey, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Mikroelektronik dari Universiti Malaysia Perlis pada 2012.

Iklan
Iklan

Menurut KPT, dengan pengalamannya yang sesuai dalam pelbagai portfolio, Zaliman menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan dan memperkasa staf akademik melalui kelayakan profesional serta pengalaman industri.

"Selain itu, beliau juga mendapatkan pengiktirafan bagi kursus akademik yang dilaksanakan oleh universiti menerusi SETARA, QS World University Subject Ranking dan THE World University Ranking.

Iklan

"Zaliman turut terlibat dalam mempergiat aktiviti penjanaan pendapatan universiti bagi memastikan kelestarian kewangan dan melaksanakan program berimpak melibatkan universiti dan komuniti melalui konsep universiti untuk masyarakat (unimap4society),” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurut KPT, pengalaman dan kepakaran beliau diiktiraf melalui kepercayaan menerajui pelbagai persatuan dan majlis seperti Pengerusi IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter 2009-2010 Session, Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti Awam, Pengerusi Majlis Kesihatan Universiti Awam dan Pengerusi Sekretariat Majlis PALAPES Universiti Awam.

Iklan

Di samping itu, Zaliman juga menganggotai beberapa pertubuhan dan badan profesional seperti Malaysia Board of Technologist, Institution of Engineering and Technology, Malaysian Association of Solid State, Institute of Physics dan Society of Photo-Optical Instrumentation Engineers.

KPT percaya bahawa Zaliman mampu untuk menggalas tanggungjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UniMAP dengan visi menerajuinya sebagai sebuah universiti teknikal berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan dan melahirkan graduan holistik.

KPT turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Dr R. Badlishah Ahmad atas jasa bakti beliau menerajui UniMAP selama hampir dua tahun sejak 2019.