'Tiga parti perlu disatukan'

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Tiga parti teras Melayu-Islam iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu disatukan berteraskan hijrah Islam dengan mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan positif.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, katanya, ia tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama serta adil kepada semua.

"Bersama konsep Islam adil kepada semua, ia telah membawa mesej yang menyatukan rakyat dalam masyarakat majmuk di kala Islam dilaksanakan dengan sempurna.

Iklan

"Inilah kejayaan yang dimulakan dengan hijrah Rasulullah SAW yang bersejarah itu. Inilah iktibar yang wajib dijadikan teladan oleh umat Islam ketika kegagalan teori dan ideologi negara di seluruh dunia pada hari ini.

"Maka, pendekatan berdasarkan acuan hijrah ini perlu diperkenalkan semula di negara kita yang bermasyarakat majmuk," katanya menerusi catatan di Facebook beliau pada Isnin.

Iklan

Abdul Hadi berkata, konsep Islam adil kepada semua telah membawa mesej yang menyatukan rakyat dalam masyarakat majmuk di kala Islam dilaksanakan dengan sempurna.

Tambah beliau, asas yang kukuh diletakkan dalam perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan ialah Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.

"Manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk," ujar beliau.