Ahli Parlimen, ADUN perlu peka keadaan setempat

Iklan
Kesan pandemik Covid-19 perlu dikaji bagi memastikan langkah susulan dan penambahbaikan dapat diambil dengan berkesan dan menyeluruh. Gambar kecil: Noor Nirwandy

SHAH ALAM - Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta lebih peka terhadap kesan pandemik Covid-19 dengan membangunkan data berpusat mereka yang terkesan di kawasan masing-masing.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, data berpusat itu merangkumi penduduk yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, kehilangan keupayaan anggota badan, anak-anak bawah umur yang kehilangan ibu bapa selain masalah berhubung kesan psikologi akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ahli Parlimen dan ADUN diminta lebih peka terhadap kesan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat di kawasan mereka. Kesan pandemik Covid-19 perlu dikaji bagi memastikan langkah susulan dan penambahbaikan dapat diambil dengan berkesan dan menyeluruh.

"Data berpusat di setiap kawasan Parlimen dan ADUN amat penting agar pelan strategi dapat dirangka bagi membentuk sistem sokongan di kawasan masing-masing mengikut permasalahan penduduk setempat.

Iklan

"Sebagai contoh bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka perlu dipastikan mendapat sokongan dalam bentuk pembelajaran jangka masa panjang yang boleh diusahakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah serta bantuan kaunseling secara berkala dalam jangka masa panjang,” katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, dengan cara itu, anak-anak bawah umur tersebut dapat mengembalikan semangat dan dibantu untuk cemerlang dalam pelajaran mereka.

Iklan

Jelas beliau, walaupun kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa secara mengejut, namun dengan bantuan penjaga ia akan membolehkan mereka kembali pulih dari kesan trauma dan mampu untuk berdikari pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa khas juga boleh dibentuk dengan gabungan ahli akademik, tokoh tempatan, pertubuhan bukan kerajaan setempat dan organisasi perniagaan bagi mendapatkan maklumat suara rakyat untuk mengatasi kesan pandemik Covid-19 di kawasan terbabit.

"Langkah-langkah proaktif seperti inilah diharapkan oleh rakyat agar ahli Parlimen dan ADUN turun padang serta memfokuskan kepada kesan pandemik Covid-19 secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan antara parti kerajaan atau pun pembangkang secara konsisten.

"Penduduk di kawasan masing-masing perlu diutamakan bagi meningkatkan kredibiliti ahli politik yang dilihat semakin hilang fokus dalam keadaan politik negara yang terus bercelaru,” ujarnya.