KSM pandang serius insiden runtuhan perancah LRT3

Iklan
KSM memandang serius insiden runtuhan perancah di tapak ProjekLRT3, Klang Selangor yang menyebabkan seorang pekerja terbunuh.

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius insiden runtuhan perancah di tapak Projek Light Rail Transit Line 3 (LRT3), Klang Selangor yang menyebabkan seorang pekerja terbunuh.

KSM melalui kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan JKKP Selangor diarahkan memulakan siasatan dengan segera.

Iklan
Iklan

Katanya, siasatan komprehensif akan turut membabitkan penglibatan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina, JKKP bagi mengenalpasti punca kejadian.

"Ia juga untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," kata kementerian itu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Perancah runtuh: Seorang maut, 2 cedera

Iklan

Berdasarkan akta tersebut, KSM berkata, menjadi kewajipan majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja mahupun orang awam di tempat kerja yang berada di bawah kawalannya.

"KSM ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan," katanya.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2 petang, seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di bawah runtuhan perancah itu disahkan meninggal dunia.

Tiga lagi rakan senegaranya dan seorang warga Indonesia turut cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.