Perkembangan positif vaksinasi, beberapa SOP PPN Fasa 1, 2 dilonggar

Iklan
Ismail Sabri Yaakob

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju untuk melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi fasa satu dan dua disebabkan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi negeri fasa satu, kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus selain pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 jam.

"Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT.

Iklan

"Manakala, waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7 pagi sehingga jam 2 petang.

"Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter juga dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Selain itu, katanya, pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 sehingga tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian.

Tambah Ismail Sabri, ia bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan.

Sementara itu, bagi fasa dua, penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat selain waktu operasi premis perniagaan dari 6 pagi hingga 10 malam termasuk stesen minyak.