MBSB sumbang RM2.2 juta

Iklan
Nor Azam (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial, Nadma, Hussain Moh.

SHAH ALAM - MBSB Bank Bhd (MBSB) telah menyumbangkan RM2.2 juta kepada pelbagai agensi bukan kerajaan dan agensi yang terlibat dalam membantu komuniti yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

MBSB dalam satu kenyataan memaklumkan, terbaharu, ketika negara sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), bank itu telah menjalinkan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan menyumbangkan 5,000 pek makanan bernilai RM500,000.

Iklan
Iklan

"Ini merupakan kerjasama pertama antara MBSB dan Nadma, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Kerjasama ini bertujuan untuk membekalkan makanan seperti beras, minyak masakan, gula, tepung, susu, biskut dan serbuk teh kepada keluarga yang berhadapan dengan risiko kelaparan disebabkan kehilangan punca pendapatan,” jelas kenyataan itu.

Iklan

Sementara itu, Naib Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata, MBSB mengambil berat mengenai kesukaran yang dialami oleh keluarga-keluarga terbabit dan menyedari bahawa kekurangan makanan yang teruk telah menjadi isu utama kebanyakan mereka.

"Kami berharap kerjasama ini boleh membantu memperbaiki keadaan dan mencapai salah satu objektif kelestarian kami dalam memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Iklan

"Kami juga berbangga dapat bekerjasama dengan Nadma yang mempunyai sumber maklumat untuk mengenal pasti keluarga-keluarga ini,” katanya.

Nor Azman berkata, satu lagi projek komuniti yang telah dilaksanakan oleh MBSB adalah melalui kerjasama dengan Food Aid Foundation (FAF).

"Kerjasama tersebut telah berjaya mengedarkan lebih daripada 4,000 bungkus makanan kepada komuniti B40 dalam dua bulan terakhir ini.

"Ia juga telah memberi kesan positif terhadap kesejahteraan masyarakat B40 kerana diedarkan tepat pada masanya dan berkesan," katanya sambil memberitahu ia merupakan tahun kedua MBSB bekerjasama dengan FAF.

MBSB yang merupakan bank Islam kedua terbesar di Malaysia amat memahami kesan Covid-19 terhadap rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, pelanggan yang pendapatannya terjejas akibat pandemik berkenaan boleh memohon bantuan bayaran balik secara dalam talian atau mengunjungi mana-mana cawangan MBSB berhampiran.