Pharmaniaga jangka selesai bekal 12 juta dos Sinovac minggu hadapan

Iklan
Tangkap layar sidang akhbar bersama Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope

SHAH ALAM - Pharmaniaga Berhad dijangka selesai membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang minggu hadapan, empat bulan lebih awal berbanding yang dijadualkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya sepatutnya selesai membekalkan vaksin pada November dan terpaksa dipercepatkan disebabkan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, setakat Rabu, Pharmaniaga telah membekalkan 11.5 juta dos vaksin kepada kerajaan yang melibatkan produk isi siap (fill and finish) dan produk siap (finish good).

"Sebanyak 3.6 juta dos bagi produk isi siap dan baki daripada itu produk siap.

Iklan

"Selain menyediakan produk isi siap yang dihasilkan di kilang, kami turut membekalkan produk siap untuk mempercepatkan pembekalan kepada kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar yang diadakan secara maya pada Rabu.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, pihaknya turut bersedia memberikan vaksin kepada sektor swasta dan kerajaan negeri selepas selesai pembekalan semua dos vaksin kepada kerajaan.

Iklan

Tambahnya, Pharmaniaga turut bersedia membekalkan dua juta dos tambahan seperti yang diminta oleh kerajaan pada Selasa.

"Jika ada permintaan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami akan bekalkan dua juta itu dahulu.

"Kemudian, kita lihat bagaimana untuk tidak mengganggu bekalan kepada sektor swasta dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Jelas beliau, setakat ini permintaan daripada sektor swasta dan kerajaan negeri sebanyak lebih lima juta dos, namun begitu pihaknya boleh menyediakan hampir satu juta dos melibatkan produk isi siap dan produk siap.