Kontena dari AS bawa buangan elektrik dihantar pulang negara asal

Iklan
Pegawai JAS Pulau Pinang sedang memeriksa kontena dari Amerika Syarikat yang membawa bahan buangan e-sisa tanpa kebenaran di NBCT Butterworth pada Isnin.

GEORGETOWN - Sebuah kontena yang membawa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) dari Amerika Syarikat diarahkan supaya dihantar semula ke negara asal kerana tidak mempunyai kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kontena itu dikesan sedang membawa masuk bahan buangan itu di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) Butterworth pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan oleh sepasukan pegawai JAS bersama Kastam mendapati, kontena itu membawa e-sisa tanpa mendapat kelulusan dari JAS Pulau Pinang.

"Kontena yang berasal dari Amerika Syarikat itu dikesan membawa skrin elektronik rosak, papan elektrik yang berada dalam keadaan tercerai, komponen elektronik yang lain dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, buangan elektrik dan elektronik ini dibawa masuk bagi tujuan pelupusan secara haram di Malaysia.

"Di bawah Konvensyen Basel, kelulusan awal dari negara penerima dan negara transit adalah diperlukan untuk pengimportan sebarang buangan terjadual termasuk e-sisa.

Iklan

"Selain itu, mengikut prinsip asas Konvensyen Basel juga, setiap buangan perlu dirawat atau dilupus di negara asal melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti ketiadaan kemudahan rawatan sisa dan telah mendapat kelulusan awal JAS," katanya.

Dalam pada itu beliau erkata, JAS telah mengeluarkan notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

"Sekiranya pengimport gagal mematuhi arahan tersebut, pihak itu boleh diambil tindakan tegas tanpa notis lanjut.

"Mana-mana pihak yang mengimport buangan terjadual, termasuk e-sisa (SW110) ke Malaysia tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun," katanya.

Jelasnya, buangan e-sisa adalah dilarang untuk diimport kecuali mengikut cara pelupusan dengan kaedah yang betul kerana buangan tersebut mengandungi bahan berbahaya seperti logam berat yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan dengan selamat.