Mydin terima 5,000 permohonan bantuan makanan sehari

Iklan
Sebanyak 68 bungkusan bantuan makanan diserahkan kepada beberapa keluarga yang tinggal di Good Year Court 4 dan 5, Subang Jaya.

SHAH ALAM - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menerusi program bantuan kemanusiaannya, Mydin Tolong telah menerima 5,000 permohonan bantuan daripada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, permohonan itu diterima melalui aplikasi Whatsapp dan laman media sosial rasmi Mydin sejak program itu dilancarkan 3 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini hampir 1,000 set makanan asas seperti roti, susu, sardin tin, biskut, serbuk teh, kopi dan pelbagai lagi telah diagihkan kepada keluarga yang layak.

"Sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk memikirkan mengenai untung dan rugi. Semua pihak harus berganding bahu membantu antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ameer berkata, permohonan tersebut ditapis mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan iaitu pemohon haruslah memberi maklumat lengkap diri, butiran sokongan dan tinggal dalam radius 10 kilometer (km) dari cawangan Mydin terdekat bagi memudahkan proses penghantaran.

"Ini merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat Mydin untuk memberi semula kepada masyarakat pada saat mereka susah dan benar-benar memerlukan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Mydin menggerakkan program Mydin Tolong bertujuan untuk menyalurkan bantuan makanan asas kepada golongan sasaran yang memerlukan terutamanya mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Program bantuan ini melibatkan semua 67 cawangan Mydin di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam mengharungi pandemik ini, semua pihak tidak kira sama ada golongan miskin tegar, B40 atau M40 terkesan dan ada yang kehilangan punca pendapatan terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, program seumpama itu merupakan inisatif untuk membantu usaha kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyantuni mereka yang memerlukan.

"Mydin memohon semua pihak agar peka serta prihatin dengan keadaan jiran sekeliling yang mungkin amat memerlukan bantuan asas seperti makanan. Terdapat pelbagai saluran bantuan yang telah digerakkan sama ada oleh kerajaan dan NGO.

"Mydin berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia dan mengajak semua syarikat-syarikat korporat dan individu berkemampuan untuk tampil bersama-sama membantu negara pada saat sukar ini,” katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai program Mydin Tolong, mereka boleh melayari laman media sosial rasmi Mydin Malaysia.