12 pelancong Thailand babit nahas terselamat

Iklan
Operasi menyelamat dijalankan anggota bomba di lokasi kejadian.
TAPAH - Seramai 12 pelancong warga Thailand terselamat dalam kemalangan melibatkan sebuah van dan treler di KM310.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Van dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian menyebabkan pemandu van juga warga Thailand cedera di tangan dan kaki, sementara kesemua 12 penumpang van tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan awal, namun mangsa telah minta keluar dari hospital untuk membuat rawatan susulan di Thailand.

"Kesemua penumpang merupakan satu keluarga dan mempunyai visa melancong selama 11 hari ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, tindakan saman akan diambil ke atas pemandu van berkenaan kerana cuai ketika memandu hingga mengakibatkan kemalangan.

Dalam pada itu, pemandu van yang tersepit dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah.

Operasi menyelamat tamat sekitar jam 2.35 pagi.