KPM bayar penuh kepada perkhidmatan KBK

Iklan
Penjelasan mengenai perkara melibatkan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat pembayaran sepenuhnya kepada perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) seperti yang dinyatakan dalam kontrak mereka.

KPM dalam kenyataannya berkata, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

Iklan
Iklan

"KPM prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktor perkhidmatan KBK dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi bawah KPM yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 2 Julai, Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Danial Hakeem Azman mendakwa kira-kira 50,000 pekerja kontrak di sekolah terjejas berikutan gaji mereka dipotong sehingga 40 peratus oleh pihak kontraktor susulan pengurangan peruntukan oleh KPM.

Iklan

Danial mendakwa pemotongan gaji itu bermula sejak bulan lalu ketika tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan.

Bagaimanapun, menurut KPM, bagi perkhidmatan BMB, lanjutan kontrak perkhidmatan diberikan kepada kontraktor terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.

Iklan

Menurut kenyataan itu, KPM juga membuat ketetapan untuk memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang tersebut bagi tempoh enam bulan mulai Julai sehingga Disember tahun ini.

"KPM memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha kantin serta penyewa premis atau ruang (kedai buku, koperasi, kedai dobi, vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah KPM.

"Selain daripada itu, KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal,” jelasnya.

KPM berkata, melalui inisiatif itu, ia diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.