Kes bunuh diri jadi agenda utama

Iklan
Kes bunuh diri yang semakin meningkat mendapat perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang sedia membincangkan isu tersebut.

SHAH ALAM - Kes bunuh diri yang semakin meningkat mendapat perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang sedia membincangkan isu tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa pilihan khas itu mempunyai kuasa untuk memanggil beberapa individu termasuklah mereka yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2).

Iklan
Iklan

Selain itu, menurutnya, jawatankuasa pilihan khas itu juga akan menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan dengan isu ini.

"Saya yakin, dengan mengoptimumkan fungsi dan peranan jawatankuasa pilihan khas ini akan membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian pantas supaya ia dapat dibendung daripada terus mengancam dan membimbangkan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, trend peningkatan itu impak daripada wabak pandemik global yang masih menular dan memberi kesan ke atas kehidupan rakyat di Malaysia.

Menurutnya, peningkatan kes itu juga disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan media bertarikh 1 Julai membabitkan kes bunuh diri sejak 2019 sehingga Mei 2021.

Iklan

"Fungsi jawatankuasa pilihan khas ini ialah menyiasat dan melaporkan cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen lain yang berkaitan dengan hal ehwal wanita dan kanak-kanak serta pembangunan sosial," katanya.

Dalam kenyataan sama, Azalina akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua jawatankuasa pilihan meneruskan mesyuarat sebagai mekanisme semak dan imbang.

Beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda juga bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya dalam menangani isu awam dan kewangan.

Dalam pada itu, mengikut laman sesawang Parlimen, seramai tujuh ahli Parlimen daripada pelbagai parti menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dipengerusikan oleh Azalina.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)