Covid-19: 12 kilang di Kemaman diarah tutup

Iklan
Dr Nor Azimi (duduk, kanan) berkata sesuatu kepada wakil kilang ketika melakukan pemantauan di sebuah kilang di Kerteh, Kemaman pada Ahad.

KEMAMAN - Sebanyak 12 kilang di Kemaman diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam Operasi Inter-Agensi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diadakan di daerah itu bermula 31 Mei hingga 26 Jun.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan penutupan melibatkan 11 kilang industri dan satu kilang agri komoditi itu dikeluarkan selepas pihaknya mengesan berlaku penularan kes Covid-19 di premis berkenaan.

Iklan
Iklan

"Semua kilang itu ditutup selama seminggu di bawah Seksyen 18 (1) (d) dan Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan basmi kuman dan langkah pencegahan penularan Covid-19 di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP di sebuah kilang di Kerteh sempena Operasi Penutup Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Inter-Agensi Daerah Kemaman 2021 di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan; Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abdul Rahman; Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar dan Pegawai Penguatkuasa MPK, Norhayati Abd Rahman @ Ghazali.

Menurut Dr Nor Azimi, operasi itu berjaya memeriksa 232 premis industri, agri komoditi, peruncitan dan perbankan dan daripada jumlah itu, sebanyak 127 premis dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan nilai kompaun berjumlah RM988,000.

Iklan

Beliau berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 10 agensi di Kemaman antaranya polis, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

"Kemaman merupakan antara daerah paling banyak kilang dan melalui operasi ini hampir semua kilang sudah diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan.

"Tempat yang berisiko mudah berlaku jangkitan di tempat kerja adalah di tempat makan dan tempat merokok kerana di tempat ini pekerja tidak memakai pelitup muka, bersembang dan tiada kawalan penjarakan.

"Tempat guna sama ini sepatutnya perlu dibuat kawalan oleh pihak syarikat dengan menetap had maksimum dalam satu masa dan juga perlu disinfeksi sekurang-kurangnya tiga kali sehari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kilang yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 dapat patuh arahan supaya Covid-19 dapat dikawal dengan baik sekaligus mengelak tercetusnya kluster baharu di tempat kerja.