Belanjawan 2019: Johor berada di landasan terbaik

Iklan
ISMAIL
KOTA ISKANDAR - Pembentangan Belanjawan Johor 2019 meletakkan negeri di selatan tanah air itu di landasan terbaik dan tepat dalam memacu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Penganalisis kewangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ismail Abd Rahman berkata, belanjawan yang memfokuskan enam teras menepati keperluan negeri dan rakyatnya yang merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus.

"Penekanan diberikan kepada kesejahteraan rakyat dengan menekankan reformasi sektor perumahan menjadi asas stabiliti buat rakyat.

"Teras pembangunan infrastruktur, penggerak zon perdagangan dan komuniti digital yang juga akan menggandakan hasil pelaburan negeri, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Johor,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, inisiatif meremajakan sektor pertanian dan industri asas tani juga boleh meletakkan Johor sebagai negeri keselamatan makanan pada masa akan datang.

Ismail berkata, idea memperkukuhkan peranan pertubuhan bukan kerajaan juga menjadi wadah terbaik buat rakyat melontar idea dan aduan menerusi medium yang lebih bersahaja selain saluran formal.

Selain itu, jelasnya, memartabatkan pendidikan islam dapat meningkatkan modal insan yang menjadi teras pembangunan negeri.