Empat ditahan bersama dadah bernilai lebih RM10,000

Iklan
Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sentul Jaya, petang Selasa. - Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sentul Jaya, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan dilakukan jam 5 petang itu hasil risikan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia di antara 18 hingga 24 tahun dan ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui 27 paket kecil dipercayai methamphetamine seberat 52.01 gram yang dianggarkan bernilai RM5,201.

"Turut dijumpai ialah plastik lain yang mengandungi 19 paket berisi kanabis (ganja) seberat 101.3 gram yang dianggarkan bernilai RM5,065,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Shafee berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap semua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah.

Katanya, semakan dibuat mendapati dua daripada kesemua mereka mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah.

Iklan

"Selain dadah yang ditemui, kita turut menyita dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Y15 dan Honda EX5 untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.