Lelaki Pakistan menyamar kontraktor cuba pecah masuk rumah

Iklan

PETALING JAYA - Helah seorang lelaki warga Pakistan untuk memecah masuk dalam sebuah rumah di sini gagal apabila suspek ditahan dalam kejadian di sebuah kondominium di Seksyen 13 di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek diberkas pengawal keselamatan kondominium itu kira-kira jam 7.26 petang sebelum diserahkan kepada polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengawal keselamatan berkenaan menerima panggilan telefon daripada pemilik sebuah rumah berhubung seorang lelaki mencurigakan menyentuh mangga di hadapan rumahnya.

"Apabila ditanya, suspek menjawab yang dia tersalah rumah sebelum pergi ke sebuah rumah lain dan dilihat cuba mengumpil mangga rumah tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, suspek memakai sarung tangan getah warna biru di tangan kanan dan memegang pemutar skru.

Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek memberi alasan bahawa dia bekerja sebagai kontraktor paip dan kemudian menukar alasan bertugas sebagai juruteknik.

Iklan

Suspek diserahkan kepada polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.