'Jangan nilai cara Aiman berkomunikasi'

Iklan
Zuraida Kamaruddin

BAYAN LEPAS - PH meminta agar rakyat tidak memandang cara calon Bersatu, Muhammad Aiman Zainali berkomunikasi sebaliknya melihat kredibilitinya dalam menangani masalah rakyat.

Ketua wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, Muhammad Aiman merupakan ahli politik baharu dan masih kekok untuk berinteraksi dengan media.

Iklan
Iklan

Katanya, bagaimanapun, calon muda tersebut tidak mempunyai masalah jika berkomunikasi dengan rakyat.

"Rakyat tidak boleh menilai beliau dari segi cara beliau berkomunikasi dengan media kerana masih baharu dalam dunia politik. Mengenai dakwaan mengatakan Muhammad Aiman mempunyai masalah berkomunikasi, kita tidak boleh menilainya dari segi cara dia berinteraksi dengan media.

Iklan

"Berinteraksi dengan media bukannya senang, hanya ahli politik lama sahaja yang boleh. Sebagai ahli politik yang baharu mungkin dia sangat berhati-hati.

"Tetapi setakat bagi ceramah, berinteraksi dengan rakyat, dia tak ada masalah," katanya kepada media tadi.

Iklan

Terdahulu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merasmikan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di Pangsapuri Bayu Nyaman di sini.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Aiman mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan pengundi di DUN Semenyih, terutamanya golongan pertengahan umur di kawasan ini.

Calon itu juga tidak dapat memberikan maklum balas yang sesuai sewaktu ditanya media mengenai gerak kerja dan kempen beliau.

Selain itu, Muhammad Aiman juga dilaporkan telah menolak jemputan badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk program debat bersama calon-calon lain yang bertanding kali ini.

Ditanya mengenai sokongan terhadap Muhammad Aiman, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata, sehingga minggu lalu, anggaran sokongan terhadap calon muda itu adalah 60 peratus.

"Setakat Khamis lalu, saya mendapat laporan mengatakan anggaran sokongan terhadap Muhammad Aiman adalah 60-40 (peratus).

"Dan saya kira makin hari makin meningkat," katanya.