Syed Abdul Aziz CEO Bank Rakyat baharu

Iklan
Syed Abdul Aziz CEO Bank Rakyat baharu

SHAH ALAM- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan pelantikan Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat berkuat kuasa pada 18 Jun 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelantikan itu dibuat berikutan prestasi yang ditunjukkan oleh Syed Abdul Aziz ketika menggalas tugas sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat sejak 14 November tahun lalu.

Iklan
Iklan

Antara pencapaian Syed Abdul Aziz dalam tempoh tersebut adalah memastikan prestasi kewangan bank mencatatkan keuntungan memberangsangkan dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.44 bilion.

"Selain itu, pembayaran dividen sebanyak 13 peratus kepada anggota bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 walaupun situasi ekonomi berhadapan dengan kemelut pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, kredibiliti beliau juga dapat dilihat semasa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rakyat Holdings Sdn Bhd, anak Syarikat Bank Rakyat.

"Antara kejayaan beliau adalah menyiapkan pembangunan Menara Kembar Bank Rakyat dengan kos yang terkawal yang kini merupakan mercu tanda pejabat korporat Bank Rakyat di Jalan Rakyat.

Iklan

"Pelantikan ini juga bertepatan dengan pengalaman luas beliau dalam pengurusan korporat untuk mentadbir dan mengukuhkan urus tadbir korporat Bank Rakyat.

"Beliau juga memastikan kesinambungan, bagi membolehkan bank berkenaan melaksanakan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) tanpa menjejaskan operasinya,” katanya.

Syed Abdul Aziz merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Ohio University, Amerika Syarikat dan pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

Semasa berkhidmat di Bank Rakyat, beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi, Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat serta ahli Majlis Eksekutif Bank Rakyat.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat di beberapa syarikat pembinaan dan hartanah iaitu PECD Bhd dan Island & Peninsular Bhd (I&P).

Selama 13 tahun berkhidmat di I&P, beliau terlibat dalam pengurusan pelbagai sektor di syarikat berkenaan, termasuk pengumpulan kredit, pengurusan fasiliti serta penjualan dan pemasaran kumpulan.