Empower ECER bantu pelajar SPM 2020 lulus cemerlang

Iklan
Siti Nor Fahira (kanan) bersama bapa saudara dan ibu saudaranya bersyukur atas kejayaan yang diperoleh.

SHAH ALAM- Modul pembelajaran Program empower ECER Latihan Akademik yang digubal oleh guru-guru cemerlang Negeri Kelantan dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) amat bersesuaian dengan keperluan pelajar kategori pelajar ‘harapan lulus’ (Halus) bagi mengoptimumkan keberkesanan dan kualiti modul yang digubal.

Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam satu kenyataannya berkata, Program empower ECER Latihan Akademik telah memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) melalui sokongan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar Program empower ECER yang terpilih.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, iCEPS diberikan mandat melaksanakan program ini bagi empat kawasan iaitu kawasan Pasir Mas, Kuala Krai,Tumpat dan Machang.

"Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar terpilih mengoptimumkan potensi diri bagi mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Iklan

"Walaupun sekolah ditutup lebih 100 hari sepanjang tahun 2020, pelajar diberi bahan bantuan pembelajaran dalam bentuk modul fizikal, peranti On The Go (OTG) juga pembelajaran interaktif secara maya yang dikendalikan oleh tenaga pakar secara percuma. Inisiatif ini bertujuan membangkitkan semangat dan motivasi pelajar untuk terus berusaha menggapai kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Nor Fahira Mohd Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, Tumpat telah mencatatkan keputusan cemerlang 8A.

Iklan

"Saya sentiasa merujuk modul pembelajaran yang dibekalkan menerusi Program empower ECER untuk mengulangkaji pelajaran. Saya tidak menyangka mendapat gred A bagi subjek Matematik sedangkan saya hanya bergred E untuk subjek tersebut pada peperiksaan akhir tahun 2019,” katanya.

Nurul Aina Syuhadah (tengah) menunjukkan keputusan peperiksaan SPM 2020 yang diumumkan.

Qurratu’aini Syafiah Mohd Azman dari SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai pula telah membuktikan kejayaan dengan mencapai keputusan cemerlang iaitu 6A dan berjaya lulus keseluruhan subjek.

"Saya mengulangkaji pelajaran menggunakan bahan pembelajaran Program empower ECER pada setiap malam di samping bimbingan guru yang tidak pernah jemu mencurah ilmu demi kejayaan pelajar-pelajar,” katanya.

Peserta lain yang turut mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM 2020 ialah pelajar SMK Kangkong, Pasir Mas, Nurul Wahida Roslan yang memperoleh 7A dalam dan pelajar SMK Machang Nurul Aina Syuhadah Muhamad Azilan yang memperoleh keputusan 6A.

Menurut Nurul Wahida, pembelajaran melalui video interaktif yang dibekalkan Program empower ECER banyak membantunya belajar secara offline melalui penggunaan peranti On The Go (OTG).

"Ia mudah diakses tanpa penggunaan internet di samping pendekatan video yang sangat menarik serta memudahkan saya menghafal dan memahami subjek dengan lebih berkesan,” katanya.