UiTM kekal antara universiti terbaik dunia

Iklan
Profesor Dr Roziah Mohd Janor

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mempertahankan kedudukan di band 651-700 daripada keseluruhan 1,300 buah universiti seluruh dunia yang disenaraikan di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Profesor Dr Roziah Mohd Janor berkata, penarafan tersebut meletakkan UiTM dalam kalangan 50 peratus universiti terbaik dunia yang menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, UiTM juga adalah antara tiga universiti tempatan yang berjaya mengekalkan prestasi dan kedudukan selain Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

"Edisi pada tahun 2022 ini menunjukkan kejayaan UiTM meningkatkan skor keseluruhan yang lebih baik berbanding tahun lalu. Reputasi akademik mencatatkan peningkatan sebanyak 28 anak tangga ke kedudukan 338 berbanding 366 pada tahun lalu.

Iklan

"Secara langsung menunjukkan kolaborasi yang bertambah baik dengan rakan sejawat daripada universiti lain di dalam mahupun di luar negara.

"Sementara itu, pengekalan pada kedudukan ini menunjukkan kekuatan daya saing dan daya tahan warga universiti dalam mempamerkan kualiti dan kecemerlangan universiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Roziah berkata, pencapaian tersebut memberi petanda bahawa pendekatan norma baharu yang dilaksanakan tidak menjejaskan operasi universiti dan jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

"Meskipun pertemuan secara fizikal terbatas, pihak universiti telah memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur dan teknologi yang ada bagi memastikan kelangsungan operasi dan aktiviti universiti tidak terjejas teruk, termasuk jalinan kerjasama bersama rakan-rakan strategik,” ujarnya.

Beliau berkata, pertemuan, persidangan, pengajaran dan pembelajaran secara maya yang dilaksanakan secara agresif dengan rakan-rakan strategik telah banyak membantu universiti untuk terus berdaya saing dan kekal dengan kualiti dan kecemerlangan akademik.

"Di sebalik pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi akibat pandemik Covid-19, UiTM komited untuk menggerakkan segala inisiatif yang telah dirancang ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025,” katanya.

-end-