Harga minyak masak naik kerana kos barang mentah tinggi

Iklan
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya pada Rabu.

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu memaklumkan kenaikan harga minyak masak disebabkan peningkatan kos bahan mentah utama seperti minyak sawit sejak tahun lepas.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata, pemantauan sentiasa dilakukan supaya tiada pihak mengaut keuntungan yang tidak munasabah termasuk melaksanakan penguatkuasaan Ops Rantai 7.0 bagi mengesan peningkatan harga minyak masak dan aktiviti mencatut dalam kalangan pengilang dan peruncit.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu turut menyebut, notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapat maklumat lanjut berhubung peningkatan harga.

"Sebanyak 163 daripada 166 item minyak masak yang diperiksa tidak mencatut. Margin keuntungan yang diambil pula konsisten.

Iklan

"Tiga peruncit juga disyaki melakukan kesalahan mencatut dan kertas siasatan telah dibuka. Dua kes diambil tindakan bagi kesalahan mencatut, manakala satu kes lagi dalam siasatan lanjut,” katanya pada Rabu.

KPDNHEP berkata, pemantauan harga minyak masak di pasaran masih diteruskan bagi mengesan aktiviti peningkatan harga yang tidak terkawal dan memastikan peniaga yang mencatut diambil tindakan sewajarnya di bawah AKHAP 2011.

Iklan

Tegasnya, tindakan tegas akan dilaksanakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan sehingga mengakibatkan ketidakstabilan harga barangan keperluan di pasaran dan membebankan rakyat.

Selain itu, kualiti minyak masak paket satu kilogram (kg) sama dengan kualiti minyak masak yang dijual dalam pek botol.

"Harga minyak masak paket 1kg tersebut telah diberikan subsidi oleh kerajaan yang menyebabkan harganya jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan minyak yang dijual dalam botol.

"Tujuan utama bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan harga minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang munasabah iaitu RM2.50 bagi 1kg paket.

Tambahan pula, kos pembungkusan paket lebih menjimatkan. Tidak wujud sebarang isu minyak masak paket tidak berkualiti dan merupakan minyak terpakai yang dikitar semula seperti yang didakwa pihak tertentu,” ujarnya.