Polis rampas 1,800 biji pil yaba

Iklan
Polis merampas 1,800 biji pil yaba selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara, di sini, pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Nasaruddin)

PASIR MAS - Polis merampas 1,800 biji pil yaba selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa ditahan ketiga-tiga suspek berusia 35 hingga 44 tahun itu dipercayai sedang menghisap dadah.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut merampas tujuh gram syabu membabitkan nilai keseluruhan termasuk pil yaba berjumlah RM18,350," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut sambil disaksikan oleh ketiga-tiga suspek telah menjumpai dadah-dadah tersebut di atas meja.

Iklan

Beliau berkata, bagaimanapun sebelum itu ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri namun berjaya dicekup oleh polis walaupun berlaku pergelutan.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

Iklan

Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu.

"Kes disiasat bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.

"Salah seorang suspek berusia 44 tahun itu mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya," katanya.

Tambah Mohd Nasaruddin, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan tiga motosikal yang dianggarkan berjumlah RM28,000 dalam serbuan tersebut.