PPV perlu dibuka di Benut: Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan meninjau keadaan di PPV Dewan Jubli Intan Pontian.

PONTIAN - Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu dibuka di Benut bagi memudahkan penduduk terutama golongan warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya mendapati PPV di Dewan Jubli Intan berlaku kesesakan berikutan penerima suntikan tertumpu ke pusat tersebut sejak dibuka.

Iklan
Iklan

"Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menimbangkan gesaan ini agar sebuah lagi PPV dibuka di Pontian khususnya bagi penduduk di kawasan Benut dan sekitarnya.

"Saya dimaklumkan terdapat sebuah lagi PPV di Pontian iaitu di Pekan Nanas dibuka pada Ahad," katanya selepas mengunjungi PPV Dewan Jubli Intan di sini pada Ahad.

Iklan

Tambah Ahmad Maslan, pembukaan di PPV di Benut kelak akan memendekkan perjalanan penerima vaksin yang agak jauh untuk ke bandar Pontian selain mengurangkan kos pengangkutan dan sebagainya.

"Penduduk di Benut yang tinggal di kampung-kampung bersempadan dengan daerah Kluang dan Batu Pahat membuat aduan kepada saya kerana mereka terpaksa bergerak awal untuk Pontian," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Maslan memberitahu, Pusat Khidmat Parlimen Pontian ada menyediakan perkhidmatan pendaftaran vaksin Covid-19 sebagaimana yang tertera dalam akaun rasmi Facebook Parlimen Pontian.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke PPV kepada mereka yang menghadapi masalah untuk ke pusat tersebut.