Koeman masih kekal terajui Barcelona

Iklan
Koeman

RONALD Koeman kini mampu menarik nafas lega apabila kekal membimbing Barcelona musim depan selepas pengurusan kelab gergasi Sepanyol itu bersetuju melanjutkan khidmatnya bagi tempoh setahun.

Menurut Presiden Barcelona, Joan Laporta, ahli lembaga pengarah kelab Catalan itu mengambil keputusan mengekalkan khidmat Koeman selepas mengambil kira pelbagai perkara selain pencapaian mereka musim ini.

Iklan
Iklan

"Keputusan untuk mengekalkan khidmat Koeman adalah bertujuan bagi memastikan kelab ini lebih bersedia mengharungi saingan musim depan yang dijangka lebih kompetitif.

"Perbincangan antara pengurusan kelab dengan Koeman juga telah mencapai kata sepakat berdasarkan terma dalam kontrak kedua-dua pihak sebelum ini.

Iklan

"Pengurusan kelab juga berpuas hati dengan perbincangan positif bersama Koeman yang teruja untuk meneruskan khidmatnya di Barcelona,” kata Laporta.

Bulan lalu, beberapa media di Sepanyol melaporkan Laporta mahu melepaskan Koeman susulan prestasi hambar skuad kendaliannya musim ini yang menyaksikan mereka terlepas kejuaraan La Liga.

Iklan

Begitupun, Koeman yang dilantik sebagai pengendali Barcelona oleh bekas presiden kelab, Josep Maria Bartomeu pada Ogos tahun lalu berjaya mengemudi Blaugranes meraih kejuaraan Piala Raja Sepanyol.

Sebagai persiapan menghadapi saingan musim baharu nanti, Barcelona berjaya membawa masuk bekas penyerang Manchester City, Sergio Aguero.

Malah, Barcelona juga dikhabarkan mahu terus ‘merantai’ kaptennya, Lionel Messi yang mahu meninggalkan Camp Nou sebaik kontraknya berakhir pada hujung bulan ini.