Kerajaan perlu kaji semula sistem pemerolehan bekalan vaksin

Iklan
Mohamed Shafie Bp Mammal

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyarankan kerajaan mengkaji semula sistem pemerolehan bekalan vaksin Covid-19 di negara ini agar kuasa monopoli tidak hanya diberikan kepada syarikat tunggal ketika ini, iaitu Pharmaniaga Bhd.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal berkata, sistem monopoli itu perlu diputuskan jika serius mahu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan kadar segera.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, kerajaan harus menggunakan kuasa darurat yang diberikan untuk mengarahkan atau membenarkan lebih daripada satu syarikat untuk mendapatkan bekalan, bukannya dikuasai dalam bentuk monopoli oleh satu syarikat atau satu pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut ujar beliau, amalan birokrasi atau ‘red tape’ dalam soal mendapatkan bekalan vaksin harus dibuang dan tidak sama sekali wujud, memandangkan rakyat negara ini kini berhadapan dengan situasi kritikal untuk menyelamatkan nyawa.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan diminta meluaskan bilangan syarikat pembekalan vaksin yang dapat memenuhi syarat kelulusan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tambah beliau, dalam sistem perdagangan, UNI-MLC yakin terdapat banyak syarikat dan kerajaan negeri yang mampu serta bersedia untuk mengeluarkan modal bagi mendapatkan bekalan vaksin.

Iklan

Justeru menurutnya, UNI-MLC menggesa dasar monopoli yang diberikan kepada syarikat Pharmaniaga Bhd dikaji semula dengan membuka tender kepada entiti lain yang berminat dan berkemampuan.