Golongan berisiko perlu divaksin

Iklan

USAHA kerajaan Malaysia untuk membentuk imuniti kelompok dengan liputan vaksin 82.8% tidak akan tercapai jika penyebaran maklumat buruk berkenaan vaksin terus berlarutan. Jika sebelum ini, kerajaan berdepan cabaran untuk mengajak setiap individu mendaftar melalui aplikasi mysejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, kesulitan terbaharu adalah untuk memastikan pendaftar yang berjaya memenuhi temu janji bagi menerima suntikan mereka.

Bernama melaporkan lebih 10,000 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 tidak menghadiri sesi temu janji vaksinasi di Terengganu. Manakala Kelantan juga merekodkan jumlah yang sama pada pada akhir bulan Mei seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Kenapakah ini berlaku? Adakah warga emas yang layak menerima vaksin masih ragu-ragu akan kebaikan vaksin? Atau adakah mereka takut akan kesannya setelah dimomokkan dengan maklumat palsu dan tidak berasas?

Tahukah anda?

Iklan

Warga emas yang berisiko tinggi wajib mengambil vaksin.

Ini kerana mereka adalah golongan yang dikhuatiri akan mendapat simptom yang teruk jika dijangkiti virus Covid-19. Jika pesakit mempunyai sejarah penyakit diabetes, jantung, atau buah pinggang contohnya, virus Covid-19 boleh mengakibatkan kegagalan organ pesakit dan jika sembuh akan meninggalkan parut yang bersifat kekal kepada organ tersebut.

Iklan

Inilah yang cuba dielakkan oleh pakar perubatan. Mereka tidak mahu pesakit berisiko tinggi dijangkiti virus Covid-19, ditambah pula dengan usia emas, banyak kemungkinan buruk akan berlaku.

Adalah penting golongan ini faham bahawa vaksin bertindak sebagai perisai daripada virus Covid-19. Dengan suntikan vaksin, warga emas berisiko tinggi akan membentuk sistem ketahanan badan yang berupaya mengurangkan risiko dari terkena jangkitan Covid-19. Ini bermaksud, risiko jangkitan masih ada walapun telah divaksin.

Jadi, apa manfaat vaksin kepada golongan ini jika masih boleh dijangkiti?

Walaupun masih terdedah kepada virus Covid-19, penerima vaksin tidak akan menunjukkan simptom yang kronik jika dijangkiti. Manakala penerima vaksin juga dapat melindungi diri dari mendapat kesan yang teruk pada penyakit yang sedia ada.

Mungkin ada juga warga emas yang bimbang akan mengalami kesan darah beku seperti yang digembar-gemburkan dalam kebanyakan media pada bulan-bulan lepas. Salah faham ini harus diperbetulkan. Simptom darah beku ini hanya boleh berlaku kepada penerima vaksin AstraZeneca (AZ) dan risikonya sangat rendah. Seperti yang dilaporkan dalam The Irish Times, hanya 30 kes darah beku direkodkan daripada 80 juta masyarakat yang menerima vaksin AZ tersebut.

Jika dikira menggunakan peratusan, kebarangkalian untuk penerima vaksin AZ untuk mendapat risiko darah beku amatlah tipis.

Malah apabila dibuat perbandingan, pakar perubatan menyatakan seseorang individu yang merokok adalah 20 hingga 30 kali ganda lebih berisiko untuk mengalami darah beku berbanding individu tidak merokok. Tetapi kenapa masih ramai individu merokok tanpa risaukan risiko ini? Dan kenapa apabila dikaitkan dengan vaksin, masyarakat terus menuduh vaksin seolah-olah sebagai wabak baharu? Sedangkan masyarakat telah berabad lamanya menerima vaksin bagi mengawal penularan pelbagai jenis penyakit.

Ini menunjukkan masyarakat masih kurang jelas akan fakta berkaitan vaksin dan kesan sampingannya.

Jika masih ada individu, ibu bapa, jiran tetangga di sekeliling kita yang masih ragu-ragu tentang vaksin, nasihatkan mereka segeralah berjumpa doktor, berbincang dan minta nasihat dari yang pakar. Sudah tiba masanya kita keluar dari rasa takut serta membuat keputusan berdasarkan bukti berasas. Jangan mudah percaya kepada maklumat yang menakut-nakutkan kerana kitalah yang bertanggungjawab untuk melindungi diri sendiri.

Jadi masyarakat bertanggungjawab

Sebagai satu masyarakat, kita seharusnya melihat pengambilan vaksin adalah satu tanggungjawab untuk melindungi generasi akan datang. Ini kerana, vaksin khas untuk kanak-kanak masih dalam kajian. Laporan berita pada 3 Jun juga menyatakan semakin ramai kanak-kanak dijangkiti virus Covid-19. Berbanding tahun lepas, kadar kes kritikal dan kematian membabitkan kanak-kanak akibat Covid-19 adalah lebih tinggi.

Oleh itu sebagai ibu bapa dan juga pelindung, jangan nafikan hak anak-anak kecil yang harus dipenuhi dengan cara melindungi diri sendiri melalui vaksin. Anak-anak memerlukan anda untuk terus melindungi mereka dalam memerangi virus Covid-19. Anda juga harus menasihati ibu bapa di kampung untuk mengambil vaksin.

Manakala, sebagai datuk dan nenek, tidakkah anda ingin bebas berjumpa anak cucu yang sudah lama dirindui. Maka, vaksinlah, hadiri sesi temu janji anda dengan doktor dan lindungi diri serta insan sekeliling.

*** Penulis adalah Dr. Wan Norshira Binti Wan Mohd Ghazali dari Jabatan Komunikasi, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia