'Total lockdown': Polis laksana operasi mengejut pematuhan SOP

Iklan
Baharudin ketika ditemui pemberita selepas Operasi Khas Pemantauan SOP PKP di beberapa tapak pembinaan di Setia Alam, pada Jumaat.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis akan melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara mengejut di tapak-tapak pembinaan serta kilang-kilang di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi ini diadakan selaras dengan ketetapan yang mana pengoperasian dan pembinaan di kilang dan tapak projek hanya boleh dijalankan apabila mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Iklan
Iklan

"Jadi pemantauan akan sentiasa dijalankan dan diadakan secara mengejut bagi memastikan ketetapan SOP ini dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Khas Pemantauan SOP PKP di beberapa tapak pembinaan di Setia Alam pada Jumaat.

Iklan

Baharudin berkata, dua kilang dikenakan kompaun manakala tiada pemaju dikenakan kompaun setakat ini.

"Kilang pertama dikenakan kompaun kerana beroperasi tanpa kebenaran surat MITI, bukan perlu dan kilang kedua didapati melebihi 60 peratus pekerja.

"Pemantauan di tapak pembinaan pula setakat ini tiada kompaun yang dikeluarkan," katanya.

Baharudin (tiga dari kanan) ketika melakukan Operasi Khas Pemantauan SOP PKP di beberapa tapak pembinaan di Setia Alam, pada Jumaat.

Operasi berkenaan turut disertai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Iklan

Sebanyak 517,144 syarikat melibatkan 9.67 juta pekerja sudah membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) dan daripada jumlah itu, 95,124 syarikat dilapor mendapat kelulusan untuk beroperasi sejak 1 Jun lalu.