FAM sedia tambah 'rimau kacuk'

Iklan
Hamidin (kiri) bersama Cools di Dubai pada Selasa.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia membuka peluang kepada mana-mana pemain terutama dari luar negara yang mempunyai kualiti terbaik untuk mewakili skuad kebangsaan sebagai usaha menambah kekuatan sedia ada.

Selepas pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools sah menyertai skuad Harimau Malaya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu berharap lebih ramai pemain berpangkalan di luar negara dan berkelayakan dapat menyertai pasukan negara.

Iklan
Iklan

Namun, Hamidin berkata, pemain tersebut terlebih dahulu perlu membuktikan kualiti dimiliki dan peranan yang mampu disumbangkan bersama pasukan.

"FAM harap masih ada ramai lagi pemain, mungkin Wan Kuzain (Wan Kuzain Wan Kamal) yang ada tweet macam tunjuk minat (sertai skuad kebangsaan), FAM juga ada berkomunikasi dengan beliau tahun lepas.

Iklan

"Bagi kita, mana-mana pemain yang berkualiti kita sedia menerima untuk bagi peluang kepada jurulatih untuk memilih ke dalam pasukan kebangsaan. Apabila kita dapat kita perlu doakan kejayaan pasukan,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi FAM pada Rabu.

Pada Selasa, Cools, 24, menceriakan peminat bola sepak tempatan apabila diumumkan sebagai pemain ke-26 skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iklan

Pemain kelab Liga Denmark, FC Midtjylland yang turut memiliki pengalaman beraksi di pentas Liga Juara-Juara UEFA itu akan membantu Malaysia mengharungi tiga aksi getir menentang UAE pada Jumaat, Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) dalam kempen kelayakan itu.

Selain Cools, lima lagi pemain berdarah kacukan yang menyarung jersi skuad Harimau Malaya ketika ini adalah Sam Sommerville, Matt Davies, La Vere Corbin Ong, Junior Eldstal dan Brendan Gan.

Sementara itu, Hamidin turut memanjangkan penghargaannya kepada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas peranan besar baginda dalam membawa masuk Cools ke dalam pasukan negara.

"TMJ (Tengku Mahkota Johor) telah hubungi saya dua bulan lepas dan maklumkan telah bercakap dengan Dion (Cools) dan menyakinkan beliau untuk bermain bersama skuad Harimau Malaya. FAM menjunjung kasih kepada TMJ,” kata Hamidin.

Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 16 pemain tempatan, tujuh pemain berdarah kacukan dan tiga pemain naturalisasi dalam skuad kendaliannya bagi menghadapi cabaran kempen kelayakan di UAE dalam misi melayakkan diri ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023. - Bernama