UniSHAMS harumkan nama Malaysia

Iklan
Rohaidawati menyediakan pencuci mulut kek keju mangga pada pertandingan anjuran Kesatuan Kulinari Antarabangsa (International Culinary Union) di London. Gambar kanan: Sajian kek keju durian yang dihasilkan oleh Rushda pada pertandingan anjuran Kesatuan Kulinari Antarabangsa (International Culinary Union) yang berpangkalan di ibu kota London, United Kingdom. Gambar kecil: Rushda Hadzira dan Rohaidawati Tumirin

KUALA KETIL- Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia bukanlah penghalang kepada tenaga pengajar dari Kulliyyah Hospitaliti & Seni Kreatif (HosCA), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) untuk menyertai ICU International Pastry Challenge 2021.

UniSHAMS berkata, pertandingan peringkat antarabangsa itu telah berlangsung secara dalam talian (online) pada 7 April 2021 dan merupakan pertandingan anjuran Kesatuan Kulinari Antarabangsa (International Culinary Union) yang berpangkalan di ibu kota London, United Kingdom.

Iklan
Iklan

Menurut UniSHAMS, pertandingan itu telah disertai lebih 56 cef daripada lebih 17 negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Bangladesh, Nepal, India, Botswana, Cyprus dan Brazil.

"UniSHAMS berjaya menempa nama dalam senarai sepuluh cef terbaik apabila Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Cef Rushda Hadzira Ismail berjaya meraih tempat ketiga manakala Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma, Cef Rohaidawati Tumirin mendapat tempat ke-10 dalam pertandingan itu.

Iklan

"Cef Rushda sebagai pemenang tempat ketiga berjaya meraih keahlian percuma Kesatuan Kulinari Antarabangsa, cek bernilai €25 dan sijil penyertaan,” kata UniSHAMS dalam satu kenyataan pada Selasa.

UniSHAMS berkata, Cef Rushda tampil dengan sajian istimewa pencuci mulut bertemakan raja buah Malaysia iaitu Kek Keju Durian yang dibakar dengan lapisan badam dan dihiasi frosting karamel gula Melaka telah berjaya mencuri tumpuan juri dengan meraih purata mata 57.225.

Iklan

"Cef Rohaidawati turut menampilkan sajian pencuci mulut bertemakan buah mangga dengan mempersembahkan Kek Keju Mangga yang dibakar dan dihiasi frosting ganache badam putih, berjaya meraih purata mata 51.575.

"Kejayaan kedua-dua Cef UniSHAMS pada pertandingan kali ini membuka mata peminat pastri tanah air serta memberi inspirasi kepada para pelajar Kulliyyah Hospitaliti & Seni Kreatif (HosCa) untuk terus berusaha dalam memartabatkan industri hospitaliti di persada dunia dengan menampilkan keunikan sumber-sumber dan elemen tempatan Malaysia,” katanya.

UniSHAMS berkata, dua sajian istimewa itu merupakan antara 63 sajian pencuci mulut yang telah dipersembahkan pada ICU International Pastry Challenge 2021.

Kecemerlangan

Mengulas lanjut, UniSHAMS berkata, Kulliyyah Hospitaliti & Seni Kreatif (HosCA), UniSHAMS menawarkan lima program pengajian di peringkat diploma iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Pengurusan Hotel Dan Perkhidmatan Makanan Halal, Diploma Seni Reka Grafik dan Diploma Multimedia Kreatif.

UniSHAMS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) milikan penuh kerajaan Kedah Darul Aman yang telah pun beroperasi lebih 25 tahun di dalam industri pengajian tinggi negara, menawarkan lebih 42 program menarik pelbagai bidang dan peringkat pengajian di dalam bidang.

Antara program yang ditawarkan ialah Pengajian Islam, Syariah & Undang-Undang, Usuluddin, Bahasa Arab, Muamalat, Pengurusan, Kewangan & Perbankan Islam, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat, Perhotelan, Pelancongan, Kulinari, Seni Kreatif, Kreatif Multimedia, Kaunseling dan Perubatan, bermula dari peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi dan Matrikulasi yang berminat adalah dipelawa untuk memohon secara terus di laman web www.unishams.edu.my tanpa perlu melalui sistem UPU Online.

Dalam berhadapan pandemik Covid 19, pelajar lepasan SPM 2020 juga boleh memohon menggunakan keputusan percubaan sedia ada untuk program peringkat Asasi dan Diploma di UniSHAMS.

Jom Masuk UniSHAMS! Wadi Kecemerlangan Ummah.