Sekolah daif: Kabinet setuju bayaran hutang RM1 bilion

Iklan
Dr Maszlee Malik - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju bayaran hutang sebanyak RM1 bilion dari Kerajaan Negeri Sarawak digunakan untuk menyelesaikan isu sekolah daif di negeri Bumi Kenyalang itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan tersebut yang akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di seluruh negeri Sarawak.

Iklan
Iklan

"Kabinet juga telah bersetuju agar projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion yang akan digunakan nanti benar-benar digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua murid dan guru di sekolah yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan daripada persetujuan antara Maszlee dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg ketika lawatan ke Pejabat Ketua Menteri pada 19 Februari lalu.

Iklan

Dalam pada itu, Maszlee berkata, sebuah jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dan dianggotai oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan tadbir urus yang bersih dan proses yang telus dapat dilaksanakan.

"Di peringkat perlaksanaan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana," jelas beliau.

Iklan

Sehubungan itu, Maszlee mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Abang Abdul Rahman Zohari kerana bersama-sama kementerian untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti satu realiti pada masa hadapan untuk anak-anak Sarawak.