Penasihat media Najib didakwa tanpa kehadiran

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bekas penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Geoffrey Stadlen didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, sejak lima tahun lalu.

Pendakwaan secara in absentia (tanpa kehadiran) itu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki warga Britain itu.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Stadlen didakwa telah mengarahkan pembayaran melalui 27 transaksi membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM8,111,322.43 dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada beberapa individu dan syarikat di antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki berkenaan didakwa mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6, 139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.

Iklan

Lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan telah melarikan diri ke luar negara selepas Najib hilang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pada 31 Oktober lalu, SPRM pernah mengeluarkan kenyataan media mengesan Paul bagi membantu siasatan sebuah kes berprofil tinggi.

Menurut kenyataan dikeluarkan agensi terbabit alamat terakhir Paul ialah di A-29-8, Blok A, Loft Sentral Condominium, Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut kenyataan SPRM seorang peguam bergelar Datuk telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, hari ini.

Peguam berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.25 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam UMNO ditahan SPRM, didakwa esok pagi

Peguam terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).