Semak prasyarat vaksinasi sebelum terima tawaran visa furada

Iklan

KUALA LUMPUR - Setiap bakal jemaah haji perlu menyemak dan memahami beberapa prasyarat khususnya mengenai vaksinasi Covid-19 ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebelum menerima tawaran visa furada yang sah daripada mana-mana syarikat pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, berdasarkan maklumat terkini, terdapat empat vaksin Covid-19 yang diluluskan Arab Saudi bagi bakal jemaah haji tahun ini, antaranya vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setiap jemaah juga perlu menerima dua dos vaksin dan hanya dibenarkan berangkat ke Arab Saudi selepas 14 hari melengkapkan kedua-dua dos berkenaan.

"Mengambil kira tempoh vaksinasi yang ditetapkan, setiap jemaah memerlukan kira-kira lima minggu untuk menerima dos pertama dan kedua bagi melengkapkan prasyarat vaksinasi haji tahun ini...sedangkan kelulusan visa furada akan dikeluarkan pada hujung bulan Zulkaedah (kira-kira 20 hingga 30 Jun tahun ini).

Iklan

"Jadi, agak sukar bakal jemaah yang menggunakan visa furada untuk pergi haji pada tahun ini kerana masa yang suntuk untuk melengkapkan prasyarat vaksinasi,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Ruzman turut menyarankan bakal jemaah haji untuk berurusan dengan syarikat pelancongan yang mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi perkhidmatan visa haji furada.

Iklan

Visa furada adalah visa haji yang diperoleh secara terus dari Kedutaan Arab Saudi melalui agensi-agensi tertentu negara itu dan tidak membabitkan kuota haji sesebuah negara. Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Sebelum itu, Ahmad Ruzman menyerahkan sumbangan sepuluh komputer riba kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Dr Shahabuddin Ibrahim.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugas mereka di pusat kuarantin.

"Kita mendapat makluman bahawa mereka memerlukan komputer riba bagi kemasukan data dan maklumat pesakit Covid-19 yang kian meningkat, jadi kita sesuaikan dengan keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu, Shahabuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dan korporat untuk berganding bahu dalam merealisasikan misi negara bagi menyekat penularan pandemik Covid-19.

"Justeru, sumbangan ini sangat bertepatan membantu kami dalam usaha memerangi wabak pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama