Pemain muda negara rangkul dua kejuaraan di Slovenia

Iklan
Choong Hon Jian-Toh Ee Wei dan Low Yeen Yuan-Valeree Siow pamer aksi cemerlang pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 di Dras Centre, Maribor.

PEMAIN muda badminton Malaysia mempamerkan aksi yang memberangsangkan untuk meraih dua kejuaraan pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 di Dras Centre, Maribor, pada Sabtu.

Pasangan beregu campuran, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei merangkul kejuaraan pertama selepas menewaskan pemain Indonesia, Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 32 minit.

Iklan
Iklan

Pasangan muda berusia 20 tahun itu, menewaskan pasangan Denmark-Sweden, Kirstoffer Knudsen-Malena Norrman 23-21, 21-17 dalam peringkat empat terakhir, pada pagi Sabtu untuk menempah tiket ke final.

Ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua bagi pasangan yang menghuni ranking ke-263 dunia itu setelah memenangi Terbuka Poland dalam penampilan sulung mereka, Mac lalu.

Iklan

Kejayaan itu turut diikuti oleh Low Yeen Yuan-Valeree Siow, yang merangkul kejuaraan beregu wanita.

Pasangan bukan pilihan berusia 19 tahun itu, berjaya mengejutkan pemain pilihan ketiga yang merupakan ranking dunia ke-133, Isabella Nielsen-Marie Steffensen dari Denmark 21-11, 21-15 untuk mengecap kejuaraan antarabangsa pertama mereka.

Yeen Yuan-Siow mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasangan Ukraine, Mariia Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka 13-21, 21-13, 21-12, sebelum itu.

Iklan

Dalam perlawanan separuh akhir yang lain, dua beradik Cheng Su Hui-Cheng Su Yin gagal memastikan semua pemain Malaysia mara ke final apabila tewas kepada Isabella-Marie 21-15, 17-21, 19-17.

Dalam kategori beregu lelaki, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe terkandas pada peringkat separuh akhir selepas disingkirkan oleh pemain Indonesia Muh Erwiansyah-Patra Rindorindo dengan kemenangan straight set 21-9, 21-18.

Cabaran negara dalam kategoeri perseorangan wanita juga berakhir di separuh akhir apabila Siti Nurshuhaini Azman ditundukkan oleh Mutiara Puspitasari dari Indonesia 21-15, 21-17. - Bernama