Barang satu raga hanya RM10

Iklan
Shawal menunjukkan contoh barangan yang boleh dimasukkan di dalam raga yang disediakan.

SUNGAI BULOH- EDS Group Supplies Sdn Bhd (EDS Group) melalui EDS Grocer melancarkan Kempen RM10 Seraga bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mendapatkan barangan berkualiti dengan harga berpatutan.

Pengarah Urusannya, Eleyanti Ahmad Nazri berkata, kempen yang dilaksanakan pada awal Ramadan lalu mendapat sambutan memberangsangkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi memberikan kemudahan kepada pelanggan menikmati tawaran eksklusif itu, EDS Grocer menyediakan pelbagai jenis barangan keperluan asas yang diletakkan di satu sudut khas di kawasan kedai berkenaan.

"Kami melaksanakan kempen ini dengan tujuan mahu membantu orang ramai yang tidak mampu membeli barangan asas.

Iklan

"Melalui kempen ini, pelanggan perlu memenuhkan raga yang disediakan dengan pelbagai jenis barang seperti telur, sabun mandi dan sebagainya,” katanya di sini baru-baru ini.

Namun, Eleyanti berkata, pelanggan tidak boleh mengambil barangan terkawal, contohnya beras dan minyak masak untuk menyertai kempen tersebut.

Iklan
Eleyanti berada di hadapan EDS Grocer.

"Walaupun kami mungkin rugi tetapi kami puas kerana dapat membantu. Kami anggap usaha ini sebagai sedekah,” katanya.

Beliau berkata, EDS Grocer yang ditubuhkan itu berkonsepkan gerai mesra Muslim dan turut menyediakan perkhidmatan sewa rak kepada peniaga kecil yang ingin mempromosikan barangan.

"Mereka tidak memerlukan modal besar untuk mengiklankan perniagaan.

"Kami hanya mengenakan bayaran RM250 untuk satu rak dan mereka boleh meletakkan barang di sini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat EDS Grocer yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif EDS Group, Datuk Shawal Hussein berkata, gerai tersebut merupakan kedai runcit pertama dibangunkan syarikatnya kerana EDS Group adalah syarikat pembekal barangan perubatan pakai buang di hospital.

"Kami merancang membuka beberapa cawangan kedai runcit di kawasan lain bagi meluaskan Kempen RM10 Seraga,” kata beliau.