Hafizh semakin hampir 'jinakkan' RC16

Iklan
Aksi Hafizh menunggang R16. - Foto REDBULL KTM TECH3
PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sudah mula selesa menunggang jentera baharunya bersama Red Bull KTM Tech3, RC16.

Hafizh yang dikenali dengan gelaran El Pescao berkata, beliau sudah mula memahami karekter motorsikal itu selepas melalui beberapa sesi tunggang uji baru-baru ini.

"Saya dapat merasakan kami kini berada di landasan yang tepat untuk mula 'set up' jentera baharu ini bersama krew-krew Tech3.

"Kami sudah mula memahami sedikit demi sedikit karekter dan cara menunggangnya selain turut mempelajari bagaimana suspension jentera ini berfungsi, apa yang patut dilakukan dan bagaimana mahu menggunakannya," katanya.

Dalam sesi latihan pertama di Jerez sebelum menutup tirai 2018, Hafizh berada di kedudukan ke-21 dengan catatan masa 1’40.630 daripada 51 pusingan.

Mengulas catatan masanya itu, Hafizh berkata ia tidaklah terlalu teruk untuk permulaan dan pada sama percaya beliau mampu melakukan lebih baik di masa akan datang.

"Kami percaya mampu melakukan catatan masa lebih baik pada hari pertama ini jika menukar tayar. Tetapi tidak melakukannya kerana mahu menghabiskan lebih banyak pusingan sebagai simulasi kepada perlumbaan sebenar," katanya lagi.