Cavani tamatkan teka teki

Iklan
CAVANI

PENYERANG sensasi Manchester United, Edinson Cavani menamatkan teka teki mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak lanjutan setahun bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Menurut Cavani, dia gembira untuk terus kekal di Old Trafford apatah lagi sedang berada pada tahap terbaik prestasinya untuk membantu jentera serangan United.

Iklan
Iklan

"Dalam tempoh semusim ini, saya telah mengharungi sesuatu yang penuh bermakna bersama United dan mampu untuk memberikan prestasi terbaik bersama kelab ini.

"Saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemain dan staf di sini. Mereka memberikan motivasi kepada saya setiap hari dan saya tahu pasukan ini boleh mencapai sesuatu yang istimewa," katanya.

Iklan

Cavani menyertai United secara percuma pada Oktober tahun lalu dan mengapai kecemerlangan dalam musim pertamanya di EPL dengan menjaringkan 15 gol.

Sebelum ini, penyerang kelahiran Uruguay itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Boca Juniors selepas dikatakan tidak gembira bersama United, namun kontrak baharu yang ditandatangani itu sekali gus menafikan spekulasi tersebut.

Iklan

"Daripada saat pertama kali saya tiba di sini, saya dapat merasai keyakinan dalam diri pengrus. Sebagai pemain, keyakinan tersebut memberikan peluang untuk saya menampilkan persembahan yang cemerlang.

"Saya juga tersentuh dengan kepercayaan tinggi daripada penyokong yang mahu saya kekal di sini. Saya akan memberikan segalanya untuk memberikan kejayaan dan kegembiraan kepada penyokong," kata Cavani.

Cavani menjadi watak penting dalam kebangkitan pasukan itu dalam kancah EPL selain golnya ketika bertemu AS Roma di perlawanan separuh akhir membantu kemaraan United ke perlawanan akhir Liga Europa.