YPM sumbang RM631,550 kepada Perak bantu lebih 3,000 pelajar

Iklan
Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara Mohd Amran Mohd Ariffin (duduk, kiri) bersama Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf (duduk, kanan) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.

SHAH ALAM - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan RM631,550 kepada lebih 3,000 pelajar menengah dan rendah di negeri Perak.

YPM dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak RM288,000 telah diberikan kepada Jabatan Pendidikan negeri itu bagi menjayakan program ‘Back to School’ yang dianjurkan YPM kepada pelajar B40 di 24 Parlimen.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, RM139,850 pula diberikan kepada Pejabat Daerah Kuala Kangsar bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan YPM di situ.

"Program Back To School YPM merupakan program bantuan persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi persekolahan melibatkan pemberian bantuan keperluan persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin atau kategori B40 seluruh negara bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

Iklan

"Pelaksanaan program ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar di seluruh negara.

"Melalui kerjasama ini PPD melalui sekolah mengenal pasti pelajar dalam kategori kurang berkemampuan atau B40, manakala YPM menyediakan peruntukan untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Selain itu, Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) di antara YPM yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Amran Mohd Ariffin bersama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf telah diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.

Hadir sama, Naib Canselor USAS, Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi, Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Pengurus Besar Wilayah Maybank Negeri Perak, Datin Munirah Che Rose.

Menurut YPM, upacara penyerahan cek tiruan yang bernilai RM200,000 kepada USAS bagi Program Fast Track SPM Tahfiz tajaan Maybank Islamic Berhad turut diadakan.

YPM berkata, Fast Track SPM Tahfiz Pusat Kecemerlangan USAS merupakan program berkonsepkan kelas tuisyen bagi pelajar lepasan tahfiz terpilih.

"Pelajar tersebut perlu menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran dan tidak berpeluang mengikuti pengajian akademik secara formal di sekolah menengah harian kerajaan.

"Melalui program itu, pelajar lepasan tahfiz berpeluang menduduki peperiksaan SPM dalam masa 10 bulan sahaja di USAS. Kini USAS Bridging Centre ini mempunyai 89 pelajar iaitu 69 orang pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan,” kata kenyataan itu.