191 PKD dijadikan Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar

Iklan
Abdul Latiff

MERSING - Sebanyak 191 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dijadikan Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar bermula 20 Mei ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan seramai 7.6 juta masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menjadi penerima vaksin dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Mersing itu berkata, kementeriannya menyasarkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada serta mempercepatkan lagi proses imunisasi Covid-19 terutama masyarakat luar bandar.

"Langkah menjadikan PKD sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar merupakan usaha pendekmorasian aksesibiliti atau memudahkan masyarakat luar bandar menerima vaksin Covid-19.

Iklan

"Inisiatif ini dilakukan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak tercicir dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program vaksinasi Covid-19 peringkat daerah Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin dan Pegawai Kesihatan Mersing, Dr Norzaher Ismail.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, KPLB bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaraskan pelaksanaan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) sebagai langkah pemerkasaan komuniti luar bandar dalam menangani penularan Covid-19.

"Kementerian bekerjasama dengan Nadma di bawah pengurusan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Sri Mohd Redzuan Md Yusof bagi menyelaraskan ABC-19 yang diuruskan antara KPLB dan Nadma.

"KPLB menerusi agensi-agensi yang berada di lapangan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, (FELCRA Berhad), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya sentiasa meningkatkan promosi dan publisiti mengenai keperluan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Seramai 233 individu telah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa kedua di Mersing, manakala 180 individu akan mendapatkan suntikan pertama mereka pada Khamis.

Terdapat dua pusat pemberian vaksin di Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dan Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Sementara itu, penerima vaksin, Hasnah Roslan, 90, dan suaminya, Ahmad Syukor, 94, meluahkan rasa lega kerana sudah menerima suntikan pertama vaksin.

"Saya bersyukur kerana sudah memperoleh vaksin. Sewaktu disuntik sebentar tadi saya tidak rasa sakit,” katanya.