Bonus sebulan gaji untuk kakitangan Yayasan Pahang

Iklan
Rozita (tengah) menerima replika cek daripada Wan Rosdy pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, pada malam Khamis.

KUANTAN - Bonus sebulan gaji diberikan kepada semua kakitangan Yayasan Pahang (YP) bagi meraikan sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Pengerusi Yayasan Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan Yayasan Pahang yang cemerlang menguruskan anak syarikat kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berpuas hati dengan pengurusan kewangan yang dijalankan dengan baik ditambah pula dengan prestasi kewangan kerajaan Pahang juga diuruskan secara berhemah.

"Kalau kita tengok kepada peningkatan pendapatan dicatatkan Yayasan Pahang, tahun lalu kita memperoleh pendapatan RM169 juta. Jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi RM40 juta berbanding tahun sebelumnya.

Iklan

"Jadi, bila lebihan yang banyak kita boleh agihkan kepada semua warga kerja YP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, pada malam Khamis.

Iklan

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang; Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Cawangan Pahang.

Turut menerima sumbangan daripada Kerajaan negeri pada majlis itu ialah Pasukan Bahas Guru Pahang yang memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang telah menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada anak jati Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang layak melanjutkan pengajian ke Kolej Harvard di Amerika Syarikat bulan Ogos ini.

Sumbangan itu diterima ibu Mohammad Hamdi, Rozita Abdul Hamid.