Jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura bincang perjalanan udara

Iklan
Wee Ka Siong pada sidang media mengenai penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kementerian Pengangkutan hari ini.
 -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sebuah jawatankuasa bersama antara Malaysia dan Singapura akan dibentuk untuk membincangkan mengenai isu perjalanan udara kerana kedua-dua negara sedang berusaha mencari jalan bagi pemulihan perjalanan rentas sempadan, akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jawatankuasa bersama itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Singapura, Loh Ngai Seng.

Iklan
Iklan

"Mereka sedang membincangkan tentang bagaimana untuk mempercepat proses, protokol, perakuan yang diperlukan, misalnya, pasport vaksin atau sebarang dokumen yang boleh diterima pakai di kedua-dua negara," katanya kepada wartawan setelah memberi taklimat mengenai pengembangan Jajaran Utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di sini pada Isnin.

Ka Siong berkata, perbincangan itu juga akan menumpukan pada syarikat penerbangan yang dibenar membawa penumpang dan kapasiti penumpang.

Iklan

"Pada peringkat awal ini, kapasiti penumpang perlu diuruskan dan ia tidak boleh dibuka kepada semua," katanya.

Pada 23 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menegaskan komitmen mereka untuk merealisasikan secepat mungkin perjalanan antara kedua-dua negara.

Iklan

Kedua-dua negara antara lain mencari cara untuk memperakukan sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara pada masa depan. - Bernama