Tiga ditahan curi elektrik lombong bitcoin

Iklan

SEREMBAN - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin selepas menyerbu tiga premis di sekitar Seremban 2 di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, dalam operasi jam 2 petang tadi dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban turut merampas mesin, peralatan dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu juga, sebanyak 300 unit mesin perlombongan bitcoin selain beberapa barangan termasuk tiga monitor, tiga Unit Pemprosesan Pusat (CPU) serta sebuah kenderaan dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM75,000 sebulan susulan aktiviti mencuri elektrik untuk melombong bitcoin di tiga premis terbabit.

Iklan
Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan. - Bernama