Zulfarhan sihat layak sertai UPNM: Saksi

Iklan
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai perubatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Harniza Kosnan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain sihat dan layak menyertai ketenteraan di universiti itu.

Saksi pendakwaan ke-30 bagi prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan itu berkata, ia berdasarkan keputusan pemeriksaan fizikal pegawai kadet itu ketika kemasukan sebagai pelatih tentera UPNM pada 2014 lalu.

Iklan
Iklan

Ketika membaca pernyataan saksi, Dr Harniza, 37, berkata, status pemeriksaan kesihatan Zulfarhan ialah FE iaitu ‘Fit Everywhere’.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, Dr Harniza berkata, status itu diberi selepas seseorang pelatih menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh dan didapati tiada sebarang penyakit atau kecacatan.

Iklan

Joy Jothi: Doktor, apa maksud Fit?

Dr Harniza: Setiap kali kemasukan, pelatih kena buat pemeriksaan kesihatan, Fit bermaksud tahap kesihatan secara keseluruhan dari atas hingga bawah adalah normal.

Iklan

Joy Jothi: Jadi, apa status Zulfarhan?

Dr Harniza: FE, kesihatannya lulus untuk menjalani keseluruhan latihan atau bentuk aktiviti ketenteraan di UPNM.

Selain itu Dr Harniza berkata, sepanjang menuntut di UPNM, Zulfarhan menerima rawatan di pusat kesihatan universiti ini sebanyak empat kali kerana mengalami demam dan sakit lutut kiri.

Selain daripada penyakit yang dinyatakan itu, beliau berkata, Zulfarhan tidak pernah mengadu mengalami sesak nafas, sakit jantung atau sakit lain.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Amer Hamzah Arshad, Dr Harniza bersetuju bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang autopsi (bedah siasat) dan patologi.

Beliau juga bersetuju bahawa keterangan mengenai tahap kesihatan Zulfarhan berdasarkan rekod di UPNM semata-mata.

Katanya, jika pelatih tidak membuat aduan kesihatan, pihak perubatan UPNM tidak akan mengetahui penyakit lain yang dihadapi pelatih.

Saksi juga bersetuju bahawa masalah kesihatan boleh timbul semasa Zulfarhan di dalam UPNM.

Pada Selasa lalu, penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni, 25, yang merupakan saksi pembelaan terakhir yang ke-20 selesai memberi keterangan.

Mereka ialah 18 tertuduh manakala dua lagi saksi ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni.

Lima tertuduh berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Sementara 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi dan Mohd Josiendra Abu Senin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung minggu depan.