Yasmin Mahmood letak jawatan sebagai Pengerusi Pos Malaysia

Iklan
Yasmin Mahmood - Foto: Astro Awani

KUALA LUMPUR - Tokoh teknologi digital dan industri perusahaan terkemuka, Datuk Yasmin Mahmood akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Pos Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 April selepas berkhidmat selama dua tahun.

Dalam kenyataan pada Isnin, penyedia perkhidmatan penghantaran pos itu berkata, syarikat telah melantik salah seorang ahli Lembaga Pengarah semasanya, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar untuk menggantikan Yasmin.

Iklan
Iklan

Syed Faisal Albar kini merupakan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia dari tahun 2008 hingga 2011.

Pos Malaysia berkata, Yasmin telah menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan berikutan tanggungjawabnya yang semakin meningkat di Malaysia dan di rantau ini.

Iklan

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, peletakan jawatan beliau berikutan 'komitmen dalam usaha lain'.

"Beliau telah menjadi anggota Pos Malaysia, telah menerajui Lembaga Pengarah dan pengurusan untuk menerapkan inisiatif digital, merasionalisasi tarif pos dan meletakkan syarikat di landasan yang tepat ke arah pelan pemulihan yang kukuh,” katanya.

Iklan

Pos Malaysia turut mengumumkan pelantikan Datuk Jezilee Mohamad Ramli sebagai pengarah bukan eksekutif.

Katanya, beliau pernah berkhidmat di Pos Malaysia sebagai Ketua Kumpulan, Perkhidmatan Korporat dan kini merupakan Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Korporat DRB-Hicom Bhd. - Bernama